Friday

Novel Kamus Asmara by Syann Alyahya

Episod 2

Sambungan Prolog



      “Nak,”
      Tiba-tiba Syazlin merasakan bahunya disentuh lembut. Ditolehnya ke belakang lalu dilihatnya pemandu teksi itu tadi berdiri di belakangnya sambil tersenyum nipis ke arahnya. Syazlin dengan segera menyeka airmatanya yang masih bersisa. Tidak mahu dilihat oleh lelaki tua itu.
      “Anak tak apa-apa ke? Sejak tadi lagi pakcik tengok anak ni macam tengah kenangkan sesuatu,”
      Syazlin diam tanpa menyahut pertanyaan lelaki hampir separuh abad di belakangnya itu. Matanya masih jatuh merenung pusara arwah kekasihnya, malah sepertinya dia tidak akan berkata apa-apa saat itu. Berat untuk dia meluahkannya lebih lagi kepada seseorang yang tidak dikenalinya.
      “Maafkan pakcik kalau pakcik menyibuk tapi pakcik pun rasa serba salah bila lihat keadaan anak macam ni. Kalau boleh pakcik tahu, kubur siapa yang anak ziarahi ni?” soal lelaki tua itu lagi. Biarlah andai dituduh menjaga tepi kain gadis itu, namun dia sendiri penasaran ingin tahu apa yang sedang terjadi kepada gadis di depannya itu sekaligus penumpang teksinya itu. Dia sedikit sebanyak turut merasa sedih melihatkan keadaan gadis itu. Seakan-akan mempunyai masalah besar yang tidak diketahui oleh sesiapa melainkan dirinya sendiri.
      “Hmm.. tak apalah kalau anak masih belum bersedia nak ceritakan pada pakcik tentang hal anak. Pakcik tak memaksa. Takpelah kalau begitu pakcik tunggu kat pondok sana tu. Anak ambillah masa selama mana yang anak mahu. Pakcik minta diri dulu.” Ujar pemandu teksi itu seraya berlalu pergi meninggalkan gadis itu sendirian di situ melayan perasaannya.
      Syazlin masih kaku dengan kedudukannya di situ. Hanya derap langkah pemandu teksi itu sahaja yang kedengaran makin jauh darinya. Barangkali tidak mahu mengganggu dirinya. Tiba-tiba perasaan bersalah menerpa dihatinya terhadap lelaki tua itu apabila setiap pertanyaan tidak dijawabnya. Dia mengeluh berat mengenangkan semua yang pernah terjadi di dalam hidupnya selama ini. Segala pahit dan suka duka diharungnya sendiri tanpa insan yang amat dicintainya,  Adlan Izzuddin.
      Mengenangkan semua itu membuatkan airmatanya serasa ingin menitis entah untuk kali yang ke berapa kerana selama hidupnya hanya airmata yang setia menjadi peneman kala memori itu menjelma di lembaran mindanya ditambah dengan rasa rindu yang semakin menggila dihati gadisnya terhadap lelaki itu. Dia menunduk memandang sepi pusara insan yang dirinduinya saban hari itu. Mutiara jernih dirasakan hangat mengalir ke pipi mulusnya.
      ‘Saya rindukan awak, Adlan. Maafkan saya kerana tak dapat lupakan awak dan maafkan saya kerana masih tak dapat menerima pemergian awak. Maafkan saya kerana terlalu rindu dan cintakan awak.’ Bisik hati kecilnya sendiri sambil menahan sendu yang semakin deras mengalir dijiwanya. Akhirnya dia terjelepok di sisi pusara itu tanpa menyedari hari yang kian merangkak pergi meninggalkan siang dan akan bergantikan malam.   bersambung

                                                                                                                                           sy@nn1107

0 comments:

Post a Comment


ShoutMix chat widget